Perihal Iman itu...
Written by permata on 06.51Perihal Iman itu...
“Wahai saudaraku! Tahukah kamu akan perkara yang merisaukan hati
kecilku ini?” soal Saidina Abu Bakar As-Siddiq kepada Hudzaifah
Al-Yaman yang terkenal dengan sifat mulianya dalam menjaga kerahsiaan
dengan sempurna.
“Mengapa wahai saudaraku, Abu Bakar? Ceritakanlah kepadaku, barangkali
ada ‘ibroh yang bisa diambil darinya,” ujar Hudzaifah dengan nada yang
lembut.
“Aku sedari yang aku tidak bisa berpisah dengan Rasulullah SAW.
Kuperhatikan, sewaktu aku bersama Baginda, terasa imanku begitu
melonjak tinggi. Namun, setelah aku jauh dari pandangannya dan pulang
ke pangkuan keluargaku, ternyata imanku sedikit menurun. Munafik-kah
aku wahai saudara seaqidahku?” Abu Bakar memberikan penjelasan, tapi
kali ini nadanya seakan sedikit risau.
“Subhanallah, sampai begitu sekali fikiranmu. Begitu telitinya engkau
dalam menjaga kesihatan ruhiyy-mu. Aku pun turut merasai perkara yang
sama. Menurut pandanganku yang dhaif ini, eloklah kiranya kita
bertanyakan langsung pada Rasulullah. Aku pasti Baginda mampu
menghilangkan kerisauan yang timbul di hati kita ini. inshaAllah,”
jawab Hudzaifah dengan penuh yakin.
Setelah disepakati, akhirnya Saidina Abu Bakar dan Hudzaifah lantas
berjumpa dengan Rasulullah, pesuruh Allah bagi mendapatkan penyelesaian
kepada masalah yang mereka hadapi.
MashaAllah, bijaknya Rasulullah dalam memberikan jawapan kepada mereka
berdua. Baginda lagi memberikan perumpamaan untuk mereka berdua
fikirkan. Kata Rasulullah, “…seandainya iman kamu sentiasa di atas dan
tiada naik turunnya, nescaya semua Malaikat pasti akan turun ke bumi
lalu berjabat tangan dengan kamu…”
Sahabat-sahabat yang ana kasihi sekelian,
Kisah di atas adalah satu kisah yang benar-benar terjadi pada zaman
Rasulullah SAW. Namun, dialog-dialognya hanyalah rekaan ana
semata-mata, tapi inshaAllah masih lagi mengekalkan keaslian maksudnya.
Cuma, ana berharap agar antum dapat mengambil sedikit pengajaran dan
dapat menangkap mesej yang cuba ana sampaikan buat bekalan antum kali
ini…khayr, inshaAllah.
Pertamanya, ana menyeru diri ana sendiri dan juga sahabat-sahabat
sekelian untuk melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT
atas nikmat Iman dan Islam yang masih lagi dipeliharaNya dalam diri
kita semua. Betapa beruntung dan gembiranya andai kita bisa membuka
kembali mata dan bernafas untuk hari yang baru, dalam keadaan masih
lagi beriman kepada Yang Esa. Alhamdulillah atas segala hal.
Tapi, sayang seribu kali sayang sekiranya nikmat itu telah luput dan
lucut daripada sanubari kita semua. Iman itu suatu yang amat berharga
dalam diri setiap insan. Ianya tidak mampu dijual-beli. Justeru, kalau
sekali ia hilang dari kita, sukar untuk mendapatkannya semula. Teringat
ana pada lirik lagu dari kumpulan nasyid Raihan…tajuknya “Iman Mutiara”
(kalau tidak salah ingatan ana):
“…iman tak dapat diwarisi…dari seorang ayah yang bertaqwa…ia tak dapat
dijual-beli…ia tiada di tepian pantai….”
Berbalik kepada kisah yang ana bawakan di atas, subhanallah….sedangkan
para sahabat yang telah terjamin kesudahan di syurga Allah pun masih
lagi risau akan tahap keimanan masing-masing, inikan pula kita manusia
biasa yang masih belum pasti pengakhirannya, sama ada baik atau buruk.
Janganlah hanya kerana kita bergelar ummat Muhammad, kita boleh
bersenang-lenang dan hanyut dengan keindahan dunia yang ternyata
mempesonakan tanpa berusaha kuat untuk bekal di akhirat kelak.
“Dan kehidupan dunia ini, hanyalah permainan dan senda gurau. Sedangkan
negeri akhirat itu, sungguh lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa.
Tidakkah kamu mengerti?” [QS6:32]
“Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah
dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu
di dunia dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah
telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di
bumi. Sungguh, Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.”
[QS28:77]
Ya benar, Rasulullah bisa sahaja mengurniakan syafaat Baginda kepada
kita semua di Mahkamah Agung Allah nanti…tapi adakah itu menjadi
pelepas tanggungjawab daripada kita? Tidak sekali-kali! Renungilah
kata-kata hikmah dari Al-Maududiy dalam salah satu kitab tulisannya:
“Dunia adalah medan amal dan tiada hisab….tetapi Akhirat adalah medan
hisab dan tiada lagi amal.”
Allah juga pernah berfirman dalam Al-quran agar kita mengambil peluang
yang ada selama kita masih hidup di dunia ini untuk beramal…mencari
bekal buat pembela diri ketika menghadapNya kelak.
Firman Allah:
“..segala yang baik yang kamu kerjakan, Allah mengetahuinya. Bawalah
bekal, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa..” [QS2:197]
Tidak sedikit perihal iman itu yang bisa kita ketahui…inshaAllah, di
sini ana muatkan beberapa komentar dari para sahabat tentang Iman…
Umar Al-Khattab r.a. pernah berkata kepada teman-temannya: “Ayuhlah!
Moga kita dapat meningkatkan keimanan kita semua.”
Selanjutnya, Abdullah Ibnu Mas’ud mengatakan: “Duduklah bersama kami,
nescaya kamu bisa meningkatkan imanmu”. Malahan, dalam sujudnya, beliau
tidak lupa berdoa supaya Allah menambahkan keimanannya, keyakinannya
dan juga kefahaman kepadanya.
Selain itu, kata-kata yang amat familiar dan famous di Monash yang
selalu disampaikan oleh kakak-kakak senior ana yang dipetik daripada
Mu’adz bin Jabal yang berbunyi: “Duduklah bersama kami dan berimanlah
sejenak” atau dalam Arabic-nya “Ijlis Bina wanu’minu sa’ah.”
Sewajarnya juga antum menilai kata-kata daripada Abu Darda yang
berbunyi: “Ianya terserah kepada setiap hamba Allah itu untuk
menentukan sama ada imannya meningkat atau menurun, dan ianya juga
bergantung kepada kebijakan hamba Allah tersebut untuk mengetahui
bagaimana, di mana dan bilakah datangnya bisikan-bisikan jahat Syaitan
la’natullah.”
Akhirnya, hayatilah pesanan penuh makna dari Abdur Rahman Ibn ‘Amr
al-Awzaa’ee yang apabila ditanya tentang Iman, ‘Adakah ianya
bertambah?’ Beliau lalu menjawab: “Ya, sehinggalah ia menjadi setinggi
gunung.” Terus, beliau ditanya lagi, ‘Adakah ianya berkurang?’ Beliau
lantas menjawab: “Ya, sehinggalah tiada apa-apa lagi yang tinggal.”
MashaAllah, betapa pentingnya kita semua mempunyai hati yang sangat
sensitif dan peka dengan “Kesihatan Iman” kita selama kita hidup.
Fitrahnya, Iman itu SINUSOIDAL. Kadang-kadang ia berada di tahap paling
atas….dan bisa sahaja ia jatuh menjunam ke bawah. Hati-hatilah wahai
sahabat-sahabat yang ana kasihi fillah (termasuklah diri ana sendiri
yang sering kelupaan)…rajin-rajinkanlah menyemak status Iman kita.
Tiada salahnya kita menjadi seorang yang terlalu berwaspada kerana
ternyata Iman itu terlalu berharga bak emas permata.
“Iman…bagaikan emas permata,
Letaknya di dalam jiwa…
Kemilau warnanya bak cahaya…
Penyuluh hidup seluruh manusia…
Iman letaknya di hati,
Suburkanlah dengan ilmu…
Bajainya dengan zikrullah…
Ia menunjukkan kita jalan diredhai Allah..
Imanlah harta yang paling berharga…
Iman…kurniaan Yang Esa,
Tanpa mengira bangsa dan rupa…
Memberi petunjuk ke jalan mulia…
Menjadi benteng penghalang dosa…”
Alangkah indahnya andai kita mampu mencontohi seperti mereka yang
disebutkan Allah dalam kitabNya:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila
disebut nama Allah gementar hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya
kepada mereka, bertambah kuat imannya dan hanya kepada Tuhan mereka
bertawakkal.” [QS8:2]
“(iaitu) orang-orang (yang menaati Allah dan Rasul) yang ketika ada
orang-orang mengatakan kepadanya, “Orang-orang (Quraisy) telah
mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada
mereka,” ternyata (ucapan) itu menambah (kuat) iman mereka dan mereka
menjawab, “Cukuplah Allah (menjadi penolong) bagi kami dan Dia
sebaik-baik pelindung.” [QS3:173]
“Dan ketahuilah bahawa di tengah-tengah kamu ada Rasulullah. Kalau dia
menuruti (kemahuan) kamu dalam banyak hal, pasti kamu akan mendapatkan
kesusahan. Tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan, dan
menjadikan (iman) itu indah dalam hatimu, serta menjadikan kamu benci
kepada kekafiran, kefasikan, dan kedurhakaan. Mereka itulah orang-orang
yang mengikuti jalan yang lurus.” [QS49:7]
Alhamdulillah, walaupun terasa nukilan kali ini lebih comot berbanding
yang lain…tetapi dengan rahmat Ilahi, dapat juga ana tamatkan entry
kali ini. inshaAllah, semoga ada manfaatnya buat diri kita semua,
kalaupun tidak banyak…sedikit pun sudah memadai…terimalah
seadanya…kerana hanya ini yang mampu ana berikan buat masa ini..Asifati
jiddan atas sebarang kekurangan dan kesilapan tutur kata…Ana
al-faqeerah ilallah…
Jazakumullahu khayran katsiran atas segalanya…dokongan, sokongan dan
suntikan semangat…dan paling penting..ingatan antum semua pada diri ana
di dalam bait-bait doa antum…may Allah reward you good…Ameen…
Wallahu ta’ala a’laam…
http://sitiyusrinanadihahjamaludin.blogspot.com/2007_02_01_archive.html
0 komentar: Responses to “ Perihal Iman itu... ”