A nice piece of information...
Written by permata on 07.51A nice piece of information...
Peristiwa Israk dan Mikraj adalah lambang cinta yang sungguh agung.
Baginda s.a.w. diundang bertemu Allah s.w.t. dengan penuh cinta dan
kasih sayang, setelah Baginda melalui detik-detik ujian yang paling
getir dalam hidupnya. Mikraj bagi umatnya adalah solat. Jika Nabi
Muhammad s.a.w. mikraj ke langit bertemu Allah s.w.t., pasti dalam
solat yang diwajibkan kepada umat Nabi Muhammad itu mengandungi rahsia
yang membawa kepada cinta Allah s.w.t. Rahsia di sebalik peristiwa ini
dan juga solat telah menggamit Black & Brown untuk menggali topik
mengenai solat dan keagungan cinta Allah s.w.t.
Pasti ramai di antara kita yang melakukan ibadat solat, puasa, zakat,
haji, membaca al-Quran dan ibadah yang lain. Namun, berapa ramai antara
kita mendirikan ibadah ini dengan penuh rasa cinta dan rindu kepada
Allah s.w.t.? Solat mengajar kita erti cinta. Lima kali setiap hari
kita dilaungkan untuk menuju cinta Allah yang abadi. Orang yang solat
itu beruntung, kerana sekiranya solatnya yang didirikan dengan penuh
kecintaan, maka ia akan dibalas dengan cinta yang lebih kudus dan
agung. Prinsip ini dinyatakan melalui sebuah Hadis Qudsi, iaitu setiap
kali seorang hamba mengingati Allah, maka Allah akan mengingatinya
dalam majlis dan khalayak yang lebih baik daripada yang ada pada
manusia.
Dalam seumur hidup, seseorang yang menunaikan solat akan berdiri dalam
solatnya itu sebanyak 372,300 kali dan sujud sebanyak 744,600 kali
(dengan anggaran umur selepas baligh 60 tahun). Alangkah indahnya jika
setiap kali berdiri, rukuk dan sujudnya itu dilakukan kerana mencari
cinta Allah? Sebagaimana kesukaan anak menghadap ibu, atau kecintaan
seorang kekasih berhadapan dengan kekasihnya, maka begitulah kita
dengan Allah s.w.t. Kita akan rasa terseksa jika berjauhan. Begitulah,
seseorang yang mencintai Tuhannya akan terseksa apabila berjauhan
daripada mengingati-Nya. Solat itulah penawar rindu bagi kita yang
merindui-Nya. Setiap kali kita berdiri, rukuk dan sujud umpama
langkah-langkah ketika berjalan. Sehari selangkah, lama-kelamaan pasti
akan sampai jua. Allah s.w.t. amat kasih kepada hamba-hamba-Nya,
lebih-lebih lagi hamba yang mencari cinta-Nya. Justeru, adalah wajar
kita menjadikan cinta Allah s.w.t. sebagai matlamat tertinggi yang
ingin kita capai sepanjang hidup kita yang terlalu singkat ini. Firman
Allah s.w.t. bermaksud: Dan majulah kamu menuju Allah, wahai
orang-orang yang beriman, mudah-mudahan kamu akan dirahmati.
Prinsip cinta diajar kepada kita, melalui kisah percintaan suci antara
Adam dengan Hawa yang dirakamkan di dalam al-Quran dengan begitu indah.
Cinta mereka akhirnya dipisahkan setelah satu insiden yang berlaku
akibat bujukan Iblis. Mereka dihantar ke dunia yang rendah. Kedua-dua
kekasih ini dipisahkan dengan jarak ribuan batu, masing-masing
menderita bersendirian, kerinduan. Tahun demi tahun pun berlalu sepi,
tanpa berita. Setelah puluhan tahun, akhirnya cinta agung mereka
bertaut kembali, setelah melalui pengalaman yang menyeksakan dek bahana
perpisahan. Namun, yang lebih menyeksakan ialah perpisahan mereka
dengan Hadrat Allah Azza Wajalla di Syurga dan ditempatkan di sebuah
kehidupan yang serba jauh dan rendah yang bernama dunia. Maka
bermulalah satu episod baru cinta Adam dan Hawa. Susah senang anak Adam
sepanjang zaman, dalam meniti arus kehidupan ini, hanya dengan tujuan
untuk kembali mendapatkan cinta Allah s.w.t. yang abadi yang pernah
dinikmati oleh Adam dan Hawa di Syurga. Secebis kisah cinta dalam
al-Quran ini, adalah suatu pelajaran yang membuktikan bahawa cinta
adalah suatu perkara penting di dalam hidup manusia.
Di dalam bacaan al-Fatihah semasa solat, kita akan bertemu dengan
kalimah ``Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang''.
Rangkap kata Pemurah dan Penyayang itu diulang dua kali, menjadi
pengapit kepada ayat ``Segala puji bagi Allah, Tuhan Pemelihara alam
ini''. Bukankah kalimah cinta di dalam al-Fatihah yang sering
diulang-ulangkan ini sudah cukup membesarkan mata hati kita mengenai
hakikat bahawa Allah itu amat menyayangi diri kita?
Bukti kasih sayang dan cinta Allah ada di mana-mana. Dia menjadikan
haiwan ternakan untuk manusia makan dan tunggangan. Daripadanya juga
dijadikan susu untuk minuman dan pelbagai gunaan. Daratan dihamparkan
untuk kemudahan kita bergerak. Daripadanya tumbuh beraneka pohon,
tumbuh-tumbuhan, sayuran dan bijirin. Daripadanya juga terbit sumber
tenaga dan kewangan kepada kita. Lautan dibentangkan untuk manusia
bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang jauh. Lautan juga
menyumbangkan beraneka makanan laut yang menyegarkan dan perhiasan yang
mahal harganya. Matahari memberi cahaya untuk kita hidup. Ia juga
sumber tenaga dan kesihatan. Bulan menyeimbang sistem pasang surut
lautan dan kestabilan bumi. Pergerakan matahari dan bulan menjadi tanda
untuk kita mengukur masa. Allah s.w.t. menjadikan semuanya ini untuk
manusia. Semua ini dijadikan-Nya untuk kita berbakti, membalas budi dan
kasih sayang-Nya. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Dan jika kamu
menghitung-hitung nikmat Allah pasti kamu gagal menentukan jumlahnya.
Sesungguhnya Allah itu benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(An-Nahl 16:18). (Sila baca ayat 3 hingga 17 surah an-Nahl dari
perspektif cinta Allah kepada hamba-Nya dan jangan malu untuk
menitiskan air mata kerinduan kepada-Nya). Justeru, seorang yang
beriman wajar menghormati dan mengasihi apa yang ada di alam ini
sebagai bukti cintanya kepada Dia Yang Maha Pencipta.
Hidup tanpa cinta, umpama empangan yang sedang kekeringan. Manusia yang
kering hatinya daripada basahan cinta Allah adalah manusia yang kering,
kasar, keras, sombong dan kosong hatinya. Kasar dan lunak hati kita
tertakluk sebanyak mana peratus kegersangan dan jumlah cinta yang ada
dalam hati. Kebanyakan manusia hari ini gersang daripada menyintai
Allah. Kemelut dunia yang berlaku di dunia hari ini lahir daripada
manusia yang tiada belas kasihan sesama manusia dan cinta kepada
Tuhannya.
Cinta dan benci umpama cahaya dan gelap yang saling berlawanan. Cinta
itu merubah segala kegelapan, seperti matahari dhuha yang menerangi
bumi pada waktu pagi. Bacalah al-Quran, tetapi kali ini dengan beralas
perasaan cinta, rindu dan kasih sayang. Sujudlah dengan perasaan
mencari cinta yang murni. Senyumlah dengan hati yang pengasih. Pasti
solat, bacaan al-Quran, senyuman dan segala amalan yang dialas cinta
itu membawa perbezaan yang amat besar pada hidup kita. Tidak hairan,
jika hati yang gersang bagai empangan yang tandus kontang itu, kini
dibasahi semula dengan keindahan dan keagungan cinta kepada Allah
s.w.t.
Salah satu sifat orang beriman ialah penyayang dan amat menyintai Allah
s.w.t. Firman Allah bermaksud: Dan orang-orang yang beriman amat
menyintai Allah. Prinsip kasih sayang ini diajar oleh Baginda dalam
beberapa hadis sahih, seperti ``Orang yang pengasih dikasihi oleh
ar-Rahman. Kasihlah apa sahaja yang ada di muka bumi, kamu akan
dikasihi mereka yang di langit.'' Mengasihi Allah dan Rasul menjadi
kriteria bagi kesempurnaan iman seseorang. Rasulullah s.a.w. bersabda
yang bermaksud: Tidak sempurna iman seseorang, sehingga Allah dan Rasul
lebih ia kasihi daripada ibu bapa dan anaknya. Tidak sempurna iman
seseorang sehingga aku ia kasihi melebihi orang lain. Justeru, sifat
seorang Muslim yang benar-benar beriman itu ialah pengasih, pembelas
kasihan, pemaaf dan sangat cintakan Allah dan Rasul.
Cinta itu adalah kuasa yang mampu menarik manusia ke arah kebenaran.
Aspek keindahan cinta yang ada dalam Islam sudah cukup untuk menarik
jutaan manusia agar kembali menikmati keindahan cinta Allah s.w.t. yang
agung itu. Islam tidak memerlukan keganasan, kerana keganasan membawa
petaka dan menjauhkan manusia daripada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t.
bermaksud: Hanya dengan rahmat Allah kamu akan bersikap lunak terhadap
mereka. Jika kamu bengis dan keras hati, pasti mereka akan melarikan
diri daripadamu. Maka hendaklah memaafkan mereka dan bermusyawarahlah
dengan mereka mudah-mudahan kamu akan dirahmati.
Di sebalik cinta yang kita dambakan kepada manusia sebenarnya ada
rahsia cinta Allah. Kita menyayangi ma-nusia kerana ia adalah kekasih,
pasangan suami atau isteri, anak-anak, ibu bapa, saudara mara atau
sahabat. Siapakah yang mencetuskan perasaan kasih dan cinta ini?
Perasaan kasih dan cinta itu sebenarnya datang daripada Allah s.w.t.
Perasaan belas kasihan kita terhadap anak yatim, ibu tunggal, orang tua
yang sakit, orang fakir miskin, orang dalam kesusahan dan kemalangan
tidak lain adalah terbit daripada percikan sifat kasih sayang Allah
s.w.t. kepada makhluk-Nya. Maka, sekiranya kita ingin meraih pandangan
rahmat-Nya, maka kita hendaklah membantu orang-orang yang lemah dan
teraniaya, kerana di situ tersisip rahsia kasih sayang Allah s.w.t.
kepada kita. Justeru, cinta Allah s.w.t. itulah yang paling layak untuk
kita kejar, kerana ia adalah sumber segala kecintaan dan kasih sayang
sebagaimana yang disebutkan oleh al-Ghazali dalam `Kimia as-Saadah'nya.
Kisah kasih sayang Barqa' amat baik untuk diperhatikan. Ia meleburkan
wang haji semata-mata untuk menampung perbelanjaan anak yatim yang
kelaparan selama tiga hari. Dengan keikhlasannya, ratusan ribu haji
umat Islam pada masa itu diterima oleh Allah s.w.t., sebagaimana yang
diceritakan kepada kita oleh Rasulullah s.a.w. Banyak lagi kisah cinta
dan kasih sayang yang agung seperti ini. Mungkin suatu hari kita
termasuk di kalangan mereka yang mempraktikkan cinta agung dan meraih
cinta Allah s.w.t. itu. Firman Allah s.w.t. bermaksud: Sekiranya kamu
membelanjakan harta seluas bumi, kamu tidak akan dapat melunakkan hati
mereka, tetapi Allah sahajalah yang melembutkan antara hati-hati
mereka.
Perkataan cinta hari ini menjadi kotor kerana kita menggunakannya
dengan cara salah. Cinta sudah dimurahkan dan dipermudah melalui budaya
luar yang melanda masyarakat kita yang terbit daripada bisikan hawa
nafsu. Cinta yang asalnya murni, kini kerap kali dikait dengan cara
mendapatkan kepuasan jasad. Jangan kecundangkan cinta murni suci dengan
hawa nafsu. Ramai anak muda hari ini memperalatkan nafsu atas nama
cinta. Tujuannya hanya untuk mengambil kesempatan. Habis madu, sepah
dibuang. Mangsanya ialah anak-anak gadis yang jujur dalam mencari
`cinta sejati'. Berhati-hatilah, kerana takrif cinta bagi lelaki ada
kalanya bersalut nafsu, sementara takrif cinta wanita bagi wanita pula
ialah keinginan untuk dicintai dan mendapatkan perlindungan. Pasti
kedua-dua takrif ini selamanya akan disalah ertikan. Justeru, tidak
hairan hari ini ramai menjadi mangsa cinta plastik. Akibatnya, ialah
penyesalan yang terpaksa ditanggung oleh diri sendiri, ibu bapa dan
keluarga selama-lamanya.
Cinta yang dibina berasaskan panduan syariat boleh memelihara kemuliaan
diri wanita dan menyelamatkan lelaki daripada menjelma menjadi haiwan
pemangsa yang rakus. Cinta yang dibina atas kecantikan, akan hilang
apabila kecantikan itu luntur. Cinta yang dibina atas asas ketampanan
dan kekayaan akan melayang apabila ketampanan dan kekayaan itu lebur.
Cinta yang berkekalan ialah yang dibina di atas asas-asas yang kekal.
Yang kekal itu maknawi, bukan fizikal. Cinta yang berkekalan dibina di
atas nilai agama dan akhlak yang mulia. Ciri-ciri agama dan akhlak
perlu dijadikan keutamaan. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud, Pilihlah
yang mempunyai akhlak dan agama, kamu akan berbahagia. Lihatlah pada
mereka yang sudah berumah tangga berpuluh tahun, bagaimana mereka
saling mencintai antara satu dengan lain. Cinta yang murni itu indah.
Ia membawa kepada cinta Allah yang hakiki. Cinta Allah itu adalah
kemuncak segala keindahan rasa yang pernah dikecapi oleh manusia.
Alangkah indahnya jika umat ini balik ke pangkal jalan, setelah sesat
dalam cinta palsu yang tiada kesudahan.
Rata-rata manusia telah melupakan aspek cinta dalam hubungannya dengan
Allah s.w.t. termasuk bagi mereka yang menunaikan solat. Hablum
Minannas dan Hablum Minallah adalah konsep yang berakar umbi daripada
perkara cinta. Perhubungan apakah yang paling rapat sesama manusia,
jika tidak melalui perhubungan cinta? Daripada cinta lahirnya kasih
sayang. Kasih sayang itu adalah hasil dalam menterjemahkan perasaan
cinta. Kerana cinta Allah, maka Dia sayang dan sentiasa memberi kita
rezeki walaupun tanpa diminta. Belas kasihan itu datangnya daripada
perasaan cinta. Kenikmatan cinta tidak boleh dibeli dengan wang
ringgit.
Kita mudah sangat jatuh cinta pada dunia yang bergemerlapan ini. Kita
tidak dilarang untuk menimba dan menikmati kebaikan dari dunia ini. Ia
adalah suatu tanggungjawab kita di bumi Allah ini. Yang salah ialah
apabila kita terlalu cinta pada dunia sehingga melupakan sumber
kebahagiaan yang hakiki itu. Tanggungjawab kita adalah untuk
menghidupkan agama-Nya supaya kehidupan kita itu makmur.
Memang tidak dinafikan, kadang-kadang ada kesulitan dalam memahami
cinta Allah sebab ia tinggi. Pasti seseorang pernah rindukan Mekah,
merindui Rasulullah, merindui ibu bapa, guru, ulama yang soleh dan
lain-lain yang seumpama itu bukan? Maka, kategori cinta yang seperti
inilah yang menjadi anak tangga pertama menuju cinta Allah. Tidak akan
ada cinta Kaabah, melainkan sebenarnya kita menyintai Pemilik Kaabah.
Tidak kita cintakan Rasulullah, melainkan sebenarnya kita cintakan
Allah s.w.t. Begitulah analogi seterusnya dalam memahami cara menuju
cinta Allah s.w.t. Justeru, jalan menuju peningkatan cinta antara yang
terpenting ialah melalui solat hamba kepada Penciptanya.
Kerana kita cinta maka kita harus membina tamadun yang berjaya. Dan
tamadun ini mestilah berasaskan aja-ran Islam yang diajarkan kepada
kita oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ada larangan untuk
kita berjaya dan tidak ada sekatan untuk kita nikmati kejayaan kita
itu. Hanya kita dilarang berhenti mencintai Yang Maha Esa, demi
kebaikan kita juga. Justeru, ada baiknya kita memulakan langkah untuk
mencari cinta Allah ini melalui solat. Semoga kita berjaya meraih cinta
Allah s.w.t. suatu hari nanti, sebagaimana inti sari yang terkandung di
dalam doa Rasulullah s.a.w.: Ya Allah, kurniakalah perasaan cinta
kepada-Mu, dan cinta kepada orang yang mengasihi-Mu, dan apa sahaja
yang membawa daku menghampiri cinta-Mu. Jadikanlah cinta-Mu itu lebih
aku hargai daripada air sejuk bagi orang yang kehausan. Wallahu A'lam.
- Artikel di atas adalah hak intelektual Black & Brown Resources Sdn.
Bhd. Ia sebuah syarikat bumiputera yang berpengalaman dalam seni Islam,
penerbitan dan pengiklanan selama 16 tahun dan pembinaan manuskrip
al-Quran beriluminasi penuh selama 11 tahun. Untuk makluman lanjut sila
layari laman web berikut.
http://www.blackbrown.com.my
http://sitiyusrinanadihahjamaludin.blogspot.com/2005_09_01_archive.html
0 komentar: Responses to “ A nice piece of information... ”